Sabtu, Ogos 30

Budget 2009


Bajet 2009 yang dibentangkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) di Dewan Rakyat semalam memanfaatkan semua lapisan masyarakat dengan tumpuan meningkatkan pendapatan boleh guna dan mutu hidup rakyat serta peruntukan besar untuk prasarana terutama pengangkutan awam. Bertemakan 'Kerajaan Prihatin' dan dirangka sejajar dengan lima teras Misi Nasional, Bajet 2009 dengan peruntukan RM207.9 bilion, 5.1 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2008, menumpukan kepada tiga strategi iaitu menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara.

Kecuali kenaikan cukai rokok sebanyak tiga sen sebatang bagi menggalakkan gaya hidup sihat, pelbagai langkah serta insentif yang diumumkan Perdana Menteri dalam bajet itu sebahagian besarnya adalah untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup. Bagi golongan berpendapatan rendah dan rakyat miskin, Abdullah antara lain mengumumkan kenaikan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi bantuan kebajikan kepada RM720 sebulan untuk Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 ringgit sebulan untuk Sabah daripada RM400 sekarang. Berikutan itu bilangan penerima bantuan meningkat kepada 110,000 isi rumah daripada 54,000, membabitkan perbelanjaan tambahan RM500 juta.

Sebuah tabung bantuan khas dengan dana RM25 juta juga akan ditubuhkan bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga yang hilang pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan. Bagi membantu pesara berpendapatan rendah pula, Abdullah mengumumkan pesara kerajaan yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun akan menerima pencen minimum RM720 ringgit sebulan, mulai 1 Januari 2009. Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan, isi rumah dengan bil elektrik kurang daripada RM20 ringgit sebulan tidak perlu membayar bil elektrik, berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009. Bagi membantu rakyat golongan berpendapatan sederhana pula, kadar cukai pendapatan individu dikurangkan satu peratus kepada antara 12 peratus dan 27 peratus bermula tahun taksiran 2009.
Rebat cukai pula dinaikkan kepada RM400 seorang bagi pendapatan bercukai di bawah RM35,000, daripada RM350 sekarang, sekali gus menyebabkan 100,000 pembayar cukai dalam golongan berpendapatan sederhana tidak lagi dikenakan cukai. Pendapatan faedah bagi simpanan individu juga dikecualikan cukai bertujuan membantu individu yang bergantung kepada pendapatan daripada simpanan. Untuk menangani kesan kenaikan harga barangan, duti import beberapa barang makanan seperti mihun, biskut, jus buah-buahan dan jagung manis dalam tin dikecualikan daripada duti import, manakala beberapa barangan pengguna termasuk pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro serta cerek elektrik, diturunkan sebanyak kepada antara 5.0-30 peratus. Bajet 2009 itu juga tidak menyaksikan sebarang kenaikan harga barangan kawalan serta cukai perjudian dan arak yang sebelum ini dijangka dinaikkan. Abdullah juga mengumumkan bayaran bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar dalam dua bayaran pada September dan Disember. Syarat pinjaman perumahan kakitangan kerajaan turut ditambah baik termasuk melanjutkan tempoh bayaran balik kepada 30 tahun dan memberikan pinjaman bagi ubahsuai rumah yang tidak dibeli menggunakan pinjaman kerajaan. Bagi membantu pekerja sektor swasta, majikan yang memberikan elaun perjalanan antara rumah dan tempat kerja kepada pekerja masing-masing dkan diberikan potongan cukai, manakala pekerja yang menerima elaun perjalanan diberikan pengecualian cukai sehingga RM2,400 setahun. Kerajaan juga akan memberikan pengecualian cukai bagi beberapa manfaat lain yang dinikmati pekerja swasta, termasuk bantuan kadar faedah bagi pinjaman perumahan, kenderaan dan pendidikan, serta bil telefon mudah alih dan internet yang dibayar oleh majikan. Perdana Menteri bagaimanapun tidak mengumumkan penurunan dalam kadar caruman wajib kepada Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti dijangkakan ramai ahli ekonomi, bertujuan memastikan golongan pekerja mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara. Bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, Perdana Menteri mengumumkan RM35 bilion akan dibelanjakan bermula tahun depan hingga 2014, termasuk bagi projek meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan baru, menambah bilangan bas serta menyediakan prasarana yang berkaitan. Untuk mengurangkan kos operasi pengusaha pengangkutan awam, kerajaan mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun, bermula 15 September 2008. Cukai jalan bagi bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin juga dikurangkan kepada RM20 ringgit setahun. Bajet 2009 juga menyaksikan pengumuman pelabagi insentif dan langkah lain bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan, meningkatkan mutu pendidikan dan latihan kemahiran, menambah baik prasarana kesihatan serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negara. Abdullah berkata, daripada peruntukan Bajet 2009, RM154.2 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM53.7 bilion untuk pembangunan. Bagi peruntukan pembangunan, RM27.8 bilion akan dibelanjakan untuk sektor ekonomi meliputi pertanian, perindustrian dan infrastruktur, RM17.8 bilion untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan, RM4.1 bilion untuk keselamatan, RM2.1 bilion untuk pentadbiran, manakala baki RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Tiada ulasan: